“Saya berminat nak buat kerja sambilan menaip dari rumah. Boleh beri saya tunjuk ajar macam mana nak apply? Adakah iklan-iklan kerja menaip dari rumah ni boleh dipercayai dan ia bukannya bohong semata-mata?”
Buat mereka yang baru pertama kali melihat iklan tawaran kerja seperti “kerja sebagai jurutaip sambilan dari rumah”, mungkin anda akan tertanya-tanya, sama ada kerja tersebut betul-betul wujud ataupun sebaliknya.
Pada mulanya, anda mungkin tidak berminat dengan kerja-kerja seperti itu, namun apabila terbaca bahawa anda mampu untuk hasilkan pendapatan sehingga RM1,000 – RM3,760 sebulan hanya dengan bekerja sebagai seorang jurutaip sambilan dari rumah, maka dari situ pasti akan terdetik di hati anda untuk cari kebenarannya.
Jika peluang ini adalah sesuatu yang benar, maka apa salahnya mencuba? Jika tak dapat pendapatan sehingga ribuan ringgit sekalipun, kalau dapat dalam ratus-ratus ringgit pun dah kira ok jugak kan?
Tetapi, bagaimana kalau peluang kerja seumpama ini yang diiklankan ini sebenarnya hanya satu penipuan semata-mata? Tidakkah ia akan mengakibatkan anda kerugian wang ringgit? Jika anda tidak rugi dari segi wang ringgit sekalipun, anda mungkin akan kerugian dari segi masa, dek kerana melayan orang-orang yang buat tawaran seperti ini.
Justeru, dalam posting ini, saya akan mengupas isu mengenai “kerja sambilan dari rumah sebagai seorang jurutaip” ini. Saya harap lepas anda baca perkongsian ini, anda boleh nilaikan sendiri iklan-iklan kerja kosong yang banyak berlegar di media sosial ataupun yang bakal anda temui satu hari nanti.
Kenapa ada majikan yang perlukan khimat seorang jurutaip dari rumah? Bukan ke semua tu sebenarnya boleh buat sendiri je… Nampak macam pelik dan tak logik je…
Kali pertama saya mendengar tentang peluang kerja sebagai seorang jurutaip dari rumah, saya juga rasa agak skeptikal.
Saya tak dapat nak bayangkan… apa dokumen yang kita perlu taip nanti agaknya? Macam-macam persoalan yang berlegar dalam fikiran saya, dan saya membayangkan banyak kebarangkalian yang tak elok.
Maknanya benda-benda ni semua tipu semata.
Pada waktu tu, dah tentu saya masih tak begitu familiar dengan bidang kerja seorang freelancer atau pekerja bebas. Selepas saya sendiri terjun dalam bidang ini, barulah saya nampak, rupa-rupanya memang ada majikan kat luar sana yang memerlukan khidmat seorang jurutaip yang profesional yang boleh buat kerja-kerja menaip dari rumah.
Majikan ini ada macam-macam jenis. Dia mungkin adalah orang perseorangan. Dia mungkin sebuah perniagaan atau syarikat kecil. Dia mungkin mewakili sebuah badan kebajikan.
Selalunya, majikan yang memerlukan khidmat freelancer ini, mereka bukanlah mewakili syarikat besar yang mampu untuk mendapatkan permanent staff untuk buat kerja-kerja menaip ataupun kerja-kerja kerani di pejabat.
Namun begitu, kerja perlu disiapkan. Tanpa memerlukan majikan mengeluarkan kos yang besar untuk bayar upah staff (atau pekerja) maka mereka mengambil pilihan untuk mengupah khidmat seorang freelancer.
Ada beberapa sebab kenapa majikan memilih untuk mendapatkan khidmat jurutaip sambilan dari rumah, antaranya
(1) Mereka ingin jimatkan kos. Dengan mengambil pekerja dari rumah, pihak majikan hanya perlu bayar upah sekali sahaja, itupun ikut berapa banyak projek yang perlu disiapkan.
(2) Mereka tak ada masa untuk buat sendiri. Kerja-kerja menaip ni, sebahagiannya adalah kerja-kerja yang bersifat remeh. Ia mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan namun memberi nilai yang tak begitu tinggi kepada perniagaan. Sebagai contoh, nak taip semula senarai contact dari business card yang diperolehi dari acara tertentu dalam bentuk jadual.
(3) Pihak majikan tidak mempunyai kepakaran dalam penggunaan software tertentu. Daripada buang masa nak belajar sendiri, lebih baik upah orang lain yang memang pandai buat kerja.
Bagaimana proses flow untuk mendapatkan pekerja dilakukan?
Ada tiga kaedah yang pada pemerhatian saya cukup popular dan kerap dilakukan.
Pertama – Menerusi laman web carian kerja khusus untuk kerja-kerja freelance
Terdapat banyak juga laman web yang menawarkan khidmat yang serupa. Namun, laman web yang popular adalah freelancer.com dan juga upwork.com
Sekiranya anda memang sedang mencari peluang kerja-kerja freelance, dan minat untuk jadi pekerja sambilan dari rumah sebagai jurutaip, bolehlah dapatkan kerja dari laman web tersebut.
Dalam konsep yang pertama ini, stepnya adalah seperti dibawah.
(1) Majikan akan mengiklankan kerja kosong. Dalam iklan kerja ini, pihak majikan akan nyatakan apa kerja yang perlu dilakukan, berapa kadar upah, apa kelayakkan dan apa yang perlu dilakukan oleh freelancer.
(2) Sekiranya ada freelancer yang berkelayakkan dan inginkan kerja tersebut, boleh mohon kerja tersebut.
(3) Walaubagaimanapun, laman web kerja seperti ini selalunya akan menarik minat freelancer dari seluruh dunia. Ini menjadikan peluang untuk dapat sesuatu pekerjaan tu jadi lebih mencabar.
Laman web yang saya kongsikan, iaitu freelancer.com dan juga upwork.com memang dah terkenal diseluruh dunia, dan memang ramai yang mencari kerja kosong, atau yang mencari pekerja menerusi laman web tersebut.
Upah adalah dalam matawang asing. Kebiasaannya dalam matawang USD.
Jadi, tidak hairanlah jika dalam iklan, ada yang mengatakan anda boleh dapat pendapatan sehingga 4 angka hanya dengan buat kerja-kerja menaip sahaja.
Apabila saya mengambil kira kadar pertukaran matawang, pada waktu entri ini saya catatkan, ianya adalah bersamaan dengan USD1 bersamaan dengan RM4.28
Jadi, kalau nak dapatkan RM1,500 upah, sebenarnya ia bersamaan dengan USD351 sahaja. Ia bukannya sesuatu yang sukar untuk dicapai, dengan syarat anda berjaya dapat kerja dari laman web carian kerja tersebut.
Satu perkara yang anda perlu tahu, persaingan antara freelancer memang sangat sengit disitu.
Cara kedua, adalah dengan menjual khidmat yang kita mampu tawarkan menerusi laman jual beli servis
Cara kedua ini, tidaklah hanya terpakai untuk jual servis menaip semata-mata. Anda sebenarnya boleh jual macam-macam servis disini. Semuanya terpulang pada kreativiti anda dan kalau anda tak ada idea, nak jual servis apa, bolehlah dapatkan idea dari laman web ini.
Satu laman web yang popular adalah laman web Fiverr.com
Atas ini pula adalah contoh-contoh iklan yang dibuat oleh para freelancer yang mencari pelanggan menggunakan platform fiverr. Anda boleh lihat sendiri diatas ini, ada yang ofer servis menaip dengan bayaran USD5 hingga USD20. Kalau dalam RM, ianya lebih kurang dalam RM21 – RM86 untuk satu projek menaip.
Lumayan juga kan?
Adakah di Malaysia, ada disediakan platform seumpama ini? Sudah semestilah ada. Anda boleh cuba untuk iklankan khidmat anda di laman web ilancee.com. Saya pernah tulis tentang ilancee sebelum ini. Boleh baca artikel saya yang bertajuk “kerja dari rumah dengan ilancee“. Anda boleh baca tentang ilancee disitu sebabnya saya tak nak panjangkan artikel ini dengan mengupas tentang ilancee pulak.
Satu lagi yang anda boleh cuba adalah portal Iklan Ig.
Portal ini memang baru dilancarkan, dan ianya lebih sesuai untuk mereka yang mempunyai akaun instagram. Kerjanya mudah sahaja. Majikan akan meminta anda untuk menghasilkan posting berbentuk iklan di instagram milik anda. Anda sendiri tetapkan, berapa kadar bayaran yang anda ingin kenakan kepada majikan.
Update: Portal IklanIG telah dihentikan perkhidmatannya. Namun jangan risau, jika anda mempunyai akaun Instagram dan berhasrat untuk buat duit melalui Instagram anda, boleh lihat dua laman web ini.
(ii) Lawan web Instagram Ads Turbo
Cara ketiga untuk dapatkan kerja menaip dari rumah adalah dengan mencari sendiri bakal majikan
Untuk mengelakkan persaingan, ini cara yang saya sendiri gunakan. Bagi tujuan mendapatkan job menaip artikel, saya hasilkan sendiri laman web saya. Dalam laman web tersebut, saya nyatakan apakah perkhidmatan yang saya tawarkan dan berapakah kadar bayaran yang saya kenakan.
Saya sebenarnya menawarkan khidmat menulis artikel iklan advertorial dan lazimnya saya akan caj RM100 untuk sebuah artikel.
Contoh iklan tawaran kerja menaip dari rumah
Setelah saya kongsikan kepada anda, tiga cara bagaimana untuk dapatkan kerja, kali ini saya nak tunjukkan pula kepada anda, contoh iklan tawaran kerja menaip dari rumah yang boleh dipercayai.
Iklan-iklan ini saya dapatkan dari laman web upwork.com
(1) Kerja transcribe video kepada artikel
Dalam contoh kerja ini, anda akan diberikan video berkenaan bidang Electrical Engineering. Anda perlu tonton video tersebut, dan perlu taip semula setiap patah perkataan yang dituturkan dalam video tersebut.
Juga perlu nyatakan (mungkin dalam bentuk dialog) siapa yang berkata, dan apa yang diperkatakan.
Kadar upahnya adalah USD12. Namun, anda perlu mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik dan dalam iklan ini, majikan hanya mahu pekerja yang datang dari negara yang bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.
(2) Kerja transcribe audio recording dalam bentuk artikel
Kerja diatas ini tak jauh beza dengan contoh kerja menaip yang pertama.
Kalau kerja yang mula-mula tadi, anda diminta untuk taip semula dari sumber video, kali ini adalah dari sumber audio atau rakaman suara sahaja.
Rakaman suara ini mungkin datangnya dari sesi interview, ceramah, perbualan telefon dan sebagainya. Bayaran upah adalah mengikut jam bekerja dan dalam contoh iklan diatas, bayarannya adalah USD9.23 untuk sejam bekerja.
(3) Kerja menaip artikel untuk laman web berkonsepkan travel
Atas ini pula adalah contoh kerja menaip artikel.
Anda dikehendaki menghasilkan artikel yang ada kaitan dengan aktiviti percutian ke USA. Bajet majikan ini adalah USD20 atau lebih kurang bersamaan dengan RM86 per artikel. Sebenarnya saya pun tak pasti, adakah bayaran ini untuk satu artikel atau untuk beberapa artikel. Yang ini kena tanya terus kepada majikan.
Jadi, adakah contoh-contoh iklan yang saya tunjukkan pada anda ini, sama seperti iklan kerja yang anda baca sebelum ini?
Iklan kerja menaip dari rumah secara sambilan yang dalam kategori “bermasalah”
Untuk mengatakan iklan kerja tertentu itu betul, salah, menipu dan sebagainya tanpa melihat sendiri apa yang ditawarkan oleh si pemilik iklan, itu adalah sesuatu yang tidak wajar.
Dalam keadaan ini, kita tak boleh nak pukul secara rata dan terus buat kesimpulan tanpa buat sebarang penilaian terlebih dahulu.
Walaupun begitu, saya berpendapat, sesebuah iklan kerja dari rumah itu adalah “bermasalah” apabila ia mempunyai ciri-ciri berikut.
(1) Anda diminta untuk membuat pembayaran bagi mendapatkan starter pack atau panduan khas
Bagi mereka yang memang zero dalam bab kerja-kerja freelance ini, memang mereka patut dapatkan ilmu dulu. Salah satu caranya adalah dengan merujuk kepada panduan.
Namun disini timbul persoalan, bagaimana dengan orang yang dah pandai? Adakah orang yang dah pandai pun kena beli panduan juga?
(2) Anda diwajibkan bayar sekuriti deposit bagi memastikan anda betul-betul buat kerja
Sebenarnya, ramai yang minat nak jadi pekerja sambilan sebagai jurutaip. Memaksa seseorang untuk buat bayaran sekuriti deposit sebagai jaminan akan buat kerja pada pendapat saya adalah sesuatu yang tak perlu.
Di pihak majikan, anda hanya perlu bayar mereka yang siapkan kerja on time dan seperti yang dimahukan. Itu sahaja dah memadai. Jika ada pekerja yang gagal siapkan tugasan, tak perlu bayar dia apa-apa. Sedangkan ada banyak lagi freelancer yang minat nak bekerja. Rasanya tak perlu paksa bayar sekuriti deposit pun tak ada masalah kan?
Ironinya, dari pembacaan yang saya buat, rata-rata yang menyuruh bayar sekuriti deposit berkesudahan dengan tawaran kerja yang dijanjikan tidak muncul pun.
Dipihak bakal pekerja, sia-sia sahaja buat bayaran seumpama ini.
Sebenarnya, isu nak kena bayar atau tidak, ianya terpulang kepada anda. Individu yang menawarkan peluang kerja ini, boleh mencipta pelbagai nama dan alasan, kenapa anda perlu buat bayaran.
Terpulang kepada anda, sama ada nak bayar atau tidak. Sebaik-baiknya, pada masa yang sama, anda juga patut disediakan pilihan untuk tak perlu bayar apa-apa. Jika pilihan yang disediakan adalah untuk buat bayaran semata-mata, maka sebaik-baiknya tinggalkan sahaja tawaran-tawaran seperti ini.
Iklan kerja yang “bermasalah”, apa sebenarnya FOKUS UTAMA mereka?
Dari peringkat iklan lagi, kita sebenarnya dah boleh tahu, apa sebenarnya matlamat akhir orang yang menyebarkan iklan kerja kosong tersebut.
Ringkasnya begini.
(1) Jika dalam iklan tersebut, anda diminta untuk join dan bayar yuran pendaftaran sebelum boleh mula bekerja atau baru boleh lihat iklan kerja kosong
Ini bermakna, pihak yang beriklan itu sebenarnya buat duit menerusi yuran pendaftaran. Jika anda buat bayaran, maka mereka akan dapat income. Jadi disini cukup jelas, matlamat mereka hanya mahukan duit anda sahaja.
(2) Jika dalam iklan, anda diminta untuk BELI panduan sebelum boleh mula bekerja
Salah satu contoh yang saya boleh bawakan adalah Jobdirumah.
Pihak Jobdirumah ni memang bisnes mereka adalah jual panduan. Malahan, di laman web mereka sendiri dah dinyatakan, bahawa mereka menyediakan latihan dan kursus secara online untuk mengajar anda cara-cara untuk mula bekerja.
Ia bermula dengan proses mencari kerja, membina online resume, cara bina profile, cara nak menang bid, cara menulis offer letter dan sebagainya.
Seterusnya, anda akan bekerja di laman web freelancer.com atau upwork.com.
Membeli panduan ini adalah suatu pilihan, sebabnya kalau anda tak beli sekalipun, anda masih boleh bekerja di laman web tersebut. Ini yang saya maksudkan, jika tak bayar apa-apa, anda masih ada pilihan dan boleh mula bekerja.
Bagi mereka yang memang dah pakar, simpan sahaja duit anda tu. Tak perlu beli apa-apa panduan dan terus mula mohon kerja di laman web carian kerja seperti freelancer.com atau upwork.com
Satu hari nanti, mungkin di Malaysia akan ada laman web yang setanding dengan laman web yang saya sebutkan itu. Cuma masanya sahaja kita tak tau bila.
Jadi harapan saya, semoga pembaca dapat membezakan antara iklan kerja yang tipu dan iklan kerja menaip dari rumah yang boleh dipercayai.