Bagaimana sebenarnya program atau bisnes network marketing berfungsi?
Sebelum nak buat keputusan, sama ada nak terlibat dalam bisnes network marketing ataupun tidak, sebaik-baiknya anda cuba dapatkan seberapa banyak maklumat mengenai bisnes ini terlebih dahulu.
Sebelum ini, kita ada bincangkan topik mengenai apa itu bisnes network marketing.
Kali ini, kita akan fokus kepada persoalan bagaimana bisnes ini berfungsi dan adakah ia benar-benar mampu untuk memberikan pendapatan kepada anda.
Perbincangan kali ini, saya akan sentuh mengenai perkara-perkara yang anda perlu tahu mengenai bisnes network marketing. In Shaa Allah selepas ini anda akan lebih faham, bagaimana bisnes ini berfungsi.
1. Melibatkan aktiviti pemasaran dan jualan
Pertama sekali, network marketing ini merupakan satu model perniagaan yang melibatkan aktiviti memasarkan dan menjual produk ataupun perkhidmatan secara terus kepada pengguna, tanpa melibatkan peranan orang tengah.
Orang tengah disini merujuk kepada pemborong, stokis mahupun peruncit.
Oleh kerana pengguna boleh beli secara terus dari syarikat, maka disini pengguna dapat menikmati harga yang sama, seperti mana yang semua orang perolehi.
Tiada istilah harga borong, harga stokis, dan harga runcit yang diperkenalkan.
Semua orang perlu bayar dengan harga yang sama.
Tempahan produk juga dibuat terus kepada pihak Head Quaters (HQ).
2. Wajib ada produk atau perkhidmatan
Dalam bisnes berasaskan network marketing, pihak syarikat wajib mempunyai produk ataupun perkhidmatan yang mereka jual.
Produk yang dijual pula mestilah suatu produk yang berkualiti dan bermanfaat kepada penggunanya.
Sekiranya pihak syarikat gagal menyediakan produk berkualiti, dengan alasan
a. Mereka sebenarnya menyediakan sistem buat duit yang sangat unggul
b. Matlamat mereka adalah menjadikan anda bebas kewangan
c. Mereka ingin menghasilkan lebih ramai jutawan
Maka dekat sini sebenarnya adalah red flag atau tanda amaran yang menunjukkan bahawa syarikat ini lebih mirip kepada skim piramid atau skim cepat kaya.
Syarikat network marketing yang tulen amat mementingkan aspek kualiti produk dan perkhidmatan.
Mereka akan melabur dalam kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (research and development) bagi menghasilkan produk yang benar-benar berkualiti.
Justeru, jika anda terjumpa peluang seumpama ini, iaitu syarikat yang tak mempunyai produk, tapi asyik bercerita tentang financial freedom, menjadi jutawan dan sebagainya, maka larilah sejauh yang mungkin.
Syarikat network marketing yang sah, akan mempunyai produk yang berkualiti.
Tak kiralah sama ada produk mereka ialah simkad, susu, vitamin, atau essential oil.
3. Terdapat proses merekrut dan melatih ejen
Lazimnya, mana-mana syarikat yang menggunakan konsep network marketing sebagai model perniagaan, akan menawarkan peluang kepada para pelanggannya, untuk menjadi pengedar ataupun boleh kekal sebagai pengguna sahaja.
Kelebihan yang ditawarkan sebagai pengedar biasanya adalah dari segi ganjaran dalam bentuk komisen.
Bagi setiap pelanggan baru yang diperkenalkan, syarikat akan membayar sejumlah komisen mengikut peratusan tertentu sebagai imbuhan kerana membantu mempromosikan produk atau perkhidmatan keluaran syarikat.
Sudah tentu, sebelum nak buat keputusan yang agak besar, sama ada ingin menjadi pengedar atau tidak, pertama sekali kita perlu mengambil kira sama ada produk yang dikeluarkan oleh syarikat ini benar-benar berkualiti atau sebaliknya.
Jangan terus terpesona dengan peluang untuk buat duit, sebabnya kalau fokus anda hanya semata-mata sebab nak buat duit, sedangkan syarikat gagal menghasilkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi, ini hanya akan merosakkan kredibiliti anda untuk jangka masa panjang.
Produk yang tak berkualiti juga sebenarnya agak sukar untuk dijual.
4. Pelanggan perlu daftar sebagai ahli
Syarikat yang mengamalkan sistem network marketing lazimnya akan meletakkan syarat supaya pelanggan yang minat untuk membeli produk atau perkhidmatan keluaran syarikat, perlu mendaftar sebagai ahli terlebih dahulu.
Pelanggan ini perlu memberikan butiran peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon dan sebagainya.
Ini berbeza kalau pelanggan tersebut membeli produk melalui kaedah konvensional, seperti membeli belah di pasaraya atau di shopping mall. Proses pembelian untuk kali pertama sangat mudah.
Pelanggan tersebut tak perlu bersusah payah untuk membuat pendaftaran dan menjadi ahli.
Mereka boleh terus dapat produk sebaik sahaja bayaran dibuat.
5. Ulang proses jualan
Pengguna yang minat nak buat duit melalui network marketing hanya perlu tiru dan ulang semula apa yang dilakukan oleh individu yang memperkenalkan peluang bisnes ini.
Itu sahaja.
Biasanya peluang bisnes ini diperkenalkan melalui beberapa cara, antaranya
a. Melalui persembahan jualan di atas pentas
Anda mungkin dipelawa oleh seseorang yang anda kenal untuk mendengar sesi taklimat mengenai peluang bisnes. Kalau individu tersebut seorang yang jujur, dia akan beritahu dari awal lagi, bahawa dia akan bawa anda untuk ke sesi penerangan peluang bisnes network marketing.
Biasanya sesi taklimat seperti ini akan diadakan di hotel ataupun di pejabat urusan milik syarikat.
b. Melalui perjumpaan secara personal one to one
Kaedah ini juga merupakan satu lagi cara yang biasa digunakan, yang mana ahli yang lebih berpengalaman akan membuat sesi penerangan secara berdepan dengan bakal pelanggan.
Jika prospek tersebut berminat, dia boleh terus buat pendaftaran.
c. Melalui penceritaan di media sosial
Ini antara cara yang agak mudah untuk memperkenalkan peluang bisnes ini kepada orang ramai. Anda hanya perlu update status yang ada kena mengena dengan peluang buat duit, mengenai produk dan sebagainya.
Jika ada yang minat dengan tawaran tersebut, dia akan hubungi anda dan anda boleh buat penerangan melalui media sosial juga.
d. Melalui pembacaan artikel di blog
Blog juga sesuai digunakan bagi tujuan pemasaran. Anda hanya perlu hasilkan konten yang bercerita mengenai peluang untuk jana pendapatan melalui syarikat pilihan anda.
Sebenarnya bisnes network marketing ini tidaklah begitu sukar. Kita hanya perlu jadi jurucakap atau tukang hebah untuk pihak syarikat.
Apa yang perlu kita hebahkan pun bukanlah perkara-perkara baru.
Kita hanya cerita benda sama yang pernah disampaikan kepada kita. Misalnya
a. Mengenai latar belakang syarikat
b. Mengenai produk atau perkhidmatan yang dihasilkan.
c. Pelan pemasaran
d. Potensi pendapatan
e. Kelebihan yang ada pada syarikat.
Tak tahu nak cerita macam mana?
Hubungi upline dan minta bantuan dari upline.
Kalau perlu, anda sebenarnya boleh minta skrip dari upline anda. Ada sesetengah orang, dia jadikan alasan “tak pandai nak cakap” sebagai sebab untuk tak menggerakkan bisnes ini.
Kemudian selepas anda dapat skrip tersebut, carilah masa untuk anda berlatih berdasarkan kepada skrip yang diberikan oleh upline anda.
Berlatih tu pun, tak perlu ambil masa yang terlalu lama.
Terus buat kerja.
Terus mula bercerita.
Anda tak perlu tunggu semua dah sempurna baru nak mula bercerita mengenai peluang buat duit melalui bisnes network marketing ini.
Ataupun kalau anda ingin gunakan strategi content marketing lagi mudah.
Sebaik sahaja anda join, boleh terus mula buat konten.
6. Kelebihan & Kekurangan network marketing kepada pihak syarikat
Apa yang membuatkan syarikat memilih untuk menganjurkan program network marketing, sedangkan mereka boleh beroperasi melalui sistem konvensional?
Sebenarnya model perniagaan berasaskan network marketing ini juga ada kelebihannya. Jom kita bincangkan dari sudut kelebihan terlebih dahulu.
6.1 Kelebihan network marketing kepada syarikat
Apakah sebenarnya kelebihan sistem network marketing kepada syarikat yang menggunakan kaedah pemasaran ini?
a. Membantu syarikat mengembangkan perniagaan
Setiap orang pengguna yang menjadi ahli, boleh menjadi sebahagian dari pasukan pemasaran.
Kita andaikan, setelah beberapa bulan syarikat beroperasi, mereka kini mempunyai 100,000 orang pengguna. Bermakna, jika kesemua orang pengguna ini berminat untuk menambahkan pendapatan, mereka ini boleh membuat kerja-kerja pemasaran untuk syarikat.
b. Penjimatan dari segi kos pemasaran
Para ejen hanya akan dibayar apabila mereka berjaya memperkenalkan pelanggan baru, dan pelanggan tersebut mestilah membuat pembelian produk.
Bayaran pula sebenarnya diambil daripada keuntungan yang terhasil daripada pembelian yang dilakukan oleh pelanggan yang diperkenalkan tersebut.
Kita ambil contoh sebelum ini, dimana syarikat telah mempunyai 100,000 orang ahli.
Jika kesemua orang ahli ini membuat kerja pemasaran setiap hari, bermakna syarikat ini ada peluang untuk terus berkembang dan iklannya akan dilihat lebih ramai prospek baru.
Sebaliknya, kalau syarikat ini membuat kerja pemasaran sendiri, kesannya adalah bergantung kepada setakat mana efisiennya pasukan pemasaran yang mereka miliki.
Ataupun, jika mereka buat keputusan untuk menggunakan kaeedah iklan berbayar, sama ada iklan di media arus perdana, media sosial ataupun iklan Google Adwords, perkembangan syarikat tersebut akan bergantung kepada faktor seperti
1. Berapa besar bajet pengiklanan yang mereka sanggup laburkan
2. Kecekapan pasukan pemasaran yang mereka miliki
3. Kreativiti pada iklan yang digunakan
Sebaliknya, kalau syarikat mempunyai 100,000 orang ahli yang aktif membuat kerja-kerja pemasaran, banyak wang yang boleh dijimatkan.
6.2 Kekurangan network marketing kepada syarikat
Adakah konsep network marketing ini terdapat kekurangan kepada syarikat yang ingin menggunakannya?
Jawapannya ya, sudah tentu ada kelemahannya.
a. Menarik ejen yang tak berkualiti
Individu yang mungkin tertarik dengan konsep network marketing ini, biasanya dalam kalangan mereka yang kurang berpengalaman dan tidak ada kepakaran dalam bidang perniagaan.
Mereka tiada pengalaman dalam bidang jualan dan tak tahu macam mana nak buat kerja-kerja marketing.
Most likely, kalau mereka sudah ada kepakaran ini, mereka tak akan sertai syarikat network marketing, sebaliknya mereka akan fokus untuk bangunkan perniagaan mereka sendiri.
b. Perlu melabur untuk latihan dan pembangunan
Syarikat perlu sediakan program latihan yang bersesuaian bagi memastikan ahli yang berminat untuk menjalankan bisnes network marketing ini mempunyai kepakaran dalam kerja-kerja pemasaran yang perlu dilakukan.
Selain itu, perjumpaan sesama ahli juga perlu dilakukan secara berkala, bagi memastikan ahli tetap terus bermotivasi untuk terus menjalankan bisnes ini.
Sekiranya syarikat induk tidak mempunyai inisiatif untuk menjalankan program latihan ini, ahli lama yang sudah bertaraf leader, perlu main peranan untuk memberikan latihan kepada ahli baru yang berminat untuk menjalankan bisnes ini.
Tapi kadang-kadang akan berlaku keadaan dimana hanya leader sahaja yang bersungguh-sungguh nak berikan latihan, tapi ahli sebenarnya tak betul-betul bersungguh nak buat bisnes ini.
Ibarat macam syok sendiri pun ada.
c. Ejen merosakkan nama baik syarikat
Terdapat juga keadaan dimana ejen itu sendiri yang memanipulasi sistem pemasaran yang diperkenalkan oleh pihak syarikat.
Manipulasi ini boleh berlaku, apabila seseorang itu benar-benar faham sistem network marketing.
Adakalanya pihak syarikat telahpun merangka pelan pemasaran yang adil kepada semua. Tapi disebabkan adanya ejen yang suka memanipulasi sistem sebab nak kaya cepat, akhirnya mereka cipta pelan marketing dengan cara yang salah.
Akhirnya pengguna menganggap cara yang betul adalah cara yang diperkenalkan oleh ejen yang membuat manipulasi tersebut.
Dalam situasi ini, pihak HQ perlu sentiasa peka dengan tindak-tanduk ahli atau ejen yang mempromosikan program mereka.
7. Kelebihan & Kekurangan network marketing kepada ejen
Setelah kita bercerita dari sudut pandang pihak syarikat, kali ini kita akan sentuh sedikit mengenai sudut pandang sebagai seorang ejen pula.
7.1 Kelebihan network marketing kepada ejen
a. Network marketing mampu menawarkan peluang menjana pendapatan
Manfaat yang paling besar, yang mampu ditawarkan oleh program seumpama ini adalah dari segi keupayaannya untuk memberikan pendapatan kepada ahli yang bersungguh-sungguh mempromosikan program, produk dan juga perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat.
b. Masa kerja yang fleksibel
Ahli boleh lakukan kerja-kerja pemasaran mengikut kesesuaian dan keselesaan masa mereka sendiri. Pihak syarikat lazimnya tidak akan memaksa mahupun memantau prestasi setiap ahli, bagi memastikan mereka buat kerja ataupun tidak.
Semuanya terpulang pada individu tersebut.
Kalau mereka serius ingin menjana pendapatan, maka mereka akan usaha untuk buat kerja pemasaran.
Sekurang-kurangnya, ahli yang serius nak buat duit akan
1. Bercerita mengenai peluang untuk jana pendapatan
2. Buat konten di sosial media
Sekiranya ahli tersebut langsung tiada tindakan, bermakna kita akan anggap yang mereka sebenarnya tak minat untuk buat bisnes.
Tapi jangan salah faham.
Mereka hanya tak minat nak buat bisnes.
Bukannya mereka tak minat dengan duit.
Kalau bagi mereka duit, pasti laju je mereka akan tadah tangan atau beri nombor akaun.
Tapi kalau disuruh buat kerja, seperti
1. Buat marketing
2. Bercerita tentang produk, perkhidmatan dan peluang bisnes
Memang macam-macam alasan yang akan ditimbulkan.
Inilah yang saya maksudkan dengan ciri ejen yang tak berkualiti yang sering tertarik untuk join bisnes ini, tapi selepas dah join, langsung tak ada sebarang tindakan.
c. Melatih individu dengan ilmu perniagaan
Kita sebenarnya boleh ambil peluang ini untuk belajar seberapa banyak perkara yang boleh tentang selok-belok bidang perniagaan.
Bisnes network marketing ini juga adalah antara bisnes yang rendah dari segi risikonya. Untuk memulakan bisnes ini, lazimnya anda hanya perlu bayar yuran keahlian, dan beli produk mengikut pakej yang anda mampu.
Selain itu, ada juga bisnes networking yang boleh anda sertai tanpa sebarang bayaran.
7.2 Kekurangan bisnes network marketing kepada ejen
Seterusnya kita lihat pula apa kekurangan bisnes ini.
a. Pilihan rangkaian produk yang terhad
Orang yang minat dengan bisnes network marketing ini, lazimnya akan melihat kepada beberapa perkara.
Salah satu faktor penting adalah dari segi rangkaian produk yang ditawarkan.
Produk yang dijual mestilah berkualiti tinggi, dan lain dari yang lain. Sebaik-baiknya produk tersebut tidak mempunyai banyak persamaan dengan produk sedia ada yang sudah berada dipasaran.
Hal ini sebenarnya agak mustahil, memandangkan kebanyakkan produk yang kita perlukan, semuanya sudah ada dipasaran.
Bezanya hanyalah sama ada produk tersebut dipasarkan dengan cara konvensional atau melalui kaedah network marketing.
Syarikat network marketing yang baru ditubuhkan lazimnya tak mempunyai rangkaian produk yang banyak. Boleh jadi mereka hanya ada 20 – 30 produk berbeza sahaja.
Ada juga bisnes seumpama ini yang hanya melancarkan satu jenis produk sahaja. Semua orang perlu promosikan dan jual produk yang sama. Secara peribadi saya merasakan, syarikat seperti ini sukar untuk pergi jauh dan bertahan lama dalam industri.
Saya lebih gemar untuk sertai bisnes network marketing yang mempunyai rangkaian produk yang banyak.
Sebagai contoh syarikat PG Mall ini.
Dekat platform PG Mall ada beribu-ribu produk berbeza yang kita boleh promosikan.
b. Marketing plan
Marketing plan ini merujuk kepada sistem imbuhan yang bakal diperolehi oleh ahli.
Sesetengah bisnes network marketing ini menggunakan sistem imbuhan yang agak rumit untuk diterangkan dan difahami.
Bukan itu sahaja, malahan ada juga bisnes yang meletakkan peraturan yang agak ketat bagi melayakkan seseorang ahli itu layak menerima komisen.
Sebagai contoh
i. Setiap kali berlaku jualan dalam kumpulan, ahli akan layak menerima Point Value (PV)
Instead of anda diberikan ganjaran dalam bentuk wang tunai, anda hanya layak untuk menerima point value sahaja. Anda hanya akan dapat wang tunai hanya apabila point value tersebut menepati syarat yang ditetapkan oleh pihak syarikat.
Misalnya, anda perlu bina dua kumpulan.
Kumpulan A dan kumpulan B, atau kaki kiri dan kaki kanan.
Untuk melayakkan anda dapat bayaran, syaratnya perlu berlaku pairing di kaki kiri dan kaki kanan.
Apa maksud pairing?
Maksudnya ialah kumpulan A mempunyai PV terkumpul sebanyak 200 PV dan kumpulan B juga mempunyai PV terkumpul sebanyak 200PV.
200 PV di sebelah kira dan 200 PV disebelah kanan.
Keadaan inilah yang dikatakan sebagai berlaku pairing.
Mungkin ada yang pelik, PV ni datang dari mana?
Sebenarnya PV ini datangnya dari pembelian produk yang berlaku dalam kumpulan.
Mungkin setiap RM1 yang dibelanjakan akan menyumbang 1 PV kepada upline.
Bermakna kalau syarikat letakkan syarat 200 PV, bermakna perlu berlaku jualan dalam kumpulan sebanyak RM200.
ii. Sistem yang digunakan adalah sistem binari yang mana setiap orang hanya boleh ada 2 orang direct downline sahaja
Contoh sistem binari adalah seperti pada gambar dibawah.
Jika anda merupakan seorang yang proaktif, anda mungkin mampu untuk dapatkan lebih dari 2 orang direct downline. Direct downline ini, anda perlu letakkan di bahagian bawah, atau dibawah downline sedia ada anda memandangkan anda tak boleh ada 2 orang direct downline.
Sistem ini menguntungkan ahli yang tak buat kerja atau yang tak pandai buat marketing. Seolah-olah mereka tak perlu buat apa-apa pun, boleh dapat downline.
Kalau semua downline berfikiran seperti ini, iaitu tak buat apa-apa pun masih boleh dapat downline, maka bisnes ini tak akan berkembang dan tunggu masa untuk runtuh sendiri.
Maklumlah, hanya seorang dua sahaja yang komited dengan bisnes ini. Selebihnya hanya jadi penumpang dan nak tunggu hasil semata-mata.
iii. Untuk melayakkan dapat bayaran komisen, kaki sebelah kiri dengan kanan perlu capai nilai PV tertentu, barulah akan berlaku pairing.
Ini macam yang saya terangkan sebelum ini.
Contoh yang saya berikan ialah, syarikat letakkan syarat kumpul disebelah kiri perlu ada 200PV manakala kumpulan di sebelah kanan juga perlu ada 200 PV untuk berlaku pairing.
Benda ini agak sukar untuk berlaku, dan situasi yang tak mustahil untuk berlaku ialah perkembangan rangkaian yang tak sihat.
Sebagai contoh, kumpulan sebelah kanan sangat aktif dan menyumbangkan 10, 000 PV manakala kumpulan sebelah kiri sangat tak aktif dan hanya ada 20 PV sahaja.
Setelah mencuba pelbagai bisnes networking, saya rasa saya lebih suka bisnes yang mempunyai pelan pemasaran yang straight forward.
Setiap kali berlaku jualan, kita patut layak dapat payment dalam bentuk berapa peratus yang ditetapkan oleh syarikat, tanpa mengambil kira sama ada prestasi kaki disebelah kiri dengan sebelah kanan berlaku pairing atau sebaliknya.
Katakanlah, syarikat meletakkan syarat, jika berlaku jualan dalam kumpulan atau pembelian peribadi, syarikat akan bayar komisen sebanyak 1%.
Bermakna, kalau ada jualan sebanyak RM100, kita akan terus dapat bayaran sebanyak RM1.
Senang nak kira, dan kita tak perlu tunggu nak cukup point atau berlaku pairing.
c. Kumpulan
Kumpulan ataupun rangkaian yang bakal anda sertai juga memainkan peranan sama ada anda akan berjaya atau sebaliknya. Jika anda sertai kumpulan yang ahlinya lemau dan lemah, tak bergerak langsung, anda perlu pastikan yang anda tak terpengaruh dengan kelakuan tersebut.
Selain itu, anda juga perlu berusaha sendiri untuk cipta sistem pemasaran yang berkesan untuk anda.
Sama ada nak fokus pada pemasaran media sosial, atau pemasaran content marketing di blog.
d. Tiada kawalan terhadap perjalanan syarikat
Sebagai ejen biasa, kita sebenarnya tak mempunyai sebarang kawalan terhadap perjalanan syarikat dan juga keputusan-keputusan yang bakal diambil oleh pihak pengurusan.
Kalau satu hari nanti, syarikat buat keputusan untuk tutup bisnes, hentikan program networking, atau jual bisnes kepada pihak lain, kita langsung tak boleh halang keputusan tersebut.
Penutup
Semua orang boleh menyertai syarikat network marketing, namun demikian satu perkara yang anda perlu tahu adalah, bisnes network marketing ini mungkin bukan untuk semua orang.
Secara teorinya, bisnes ini memang mudah.
Namun dari segi praktikal, ia tak semudah yang disangka.
Untuk berjaya dalam bisnes network marketing, ia memerlukan
a. Tenaga
Kena ada semangat dan memerlukan tenaga yang banyak untuk gerakkan bisnes ini. Kalau mereka yang jenis senang hilang semangat bila kena rejection, memang akan nampak lemah.
b. Stamina
Bisnes ini, kita jalankan sedikit demi sedikit, untuk lihat hasilnya.
Ia bukannya seperti lain-lain bisnes diluar sana yang memerlukan satu tindakan yang besar pada peringkat permulaan. Sebagai contoh, perlu ada RM20,000 untuk bermula.
Tapi bisnes network marketing ini boleh dimulakan walau tanpa modal dan dari situ mula gerakkan bisnes ini sedikit demi sedikit.
Anggaplah seperti anda menggunakan formula pemasaran seperti satu hari satu konten marketing.
c. Minat
Kita perlu mempunyai minat yang mendalam dalam bidang perniagaan. Membina sebuah perniagaan yang mampan, bukan semata-mata perlu fokus pada bab duit semata-mata.
Ia perlu dilihat juga dari segi pembangunan diri, pembinaan rangkaian, pengetahuan mengenai produk dan sebagainya.
d. Mental yang kuat
Seperti lain-lain bisnes yang ada diluar sana, bisnes network marketing ini juga berdepan dengan banyak cabaran dan penolakkan dari prospek yang akan kita ajak untuk sertai.
Bisnes ini memang selalu dikaitkan dengan skim piramid atau skim cepat kaya. Memang agak sukar untuk kita ubah persepsi tersebut, dan hakikatnya perkara ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malahan di seluruh dunia.
Apa yang kita boleh lakukan adalah memberi maklumat yang betul mengenai bisnes ini. Jika orang diluar sana masih tetap memilih untuk menolak, maka itu adalah pilihan mereka yang perlu kita hormati.
Kita perlukan mental yang kuat, untuk menghadapi persepsi yang kurang tepat dan menjelaskan salah faham yang sering berlaku dalam kalangan prospek kita.
e. Dedikasi
Apabila kita sudah berada dalam bidang ini, terus bergerak ke hadapan dan berhenti apabila kejayaan telahpun dicapai.
Ataupun setidak-tidaknya kita meletakkan satu sasaran yang jelas.
“Aku nak fokus buat bisnes ini at least 5 tahun, dan selepas itu kita lihat apa hasilnya…”
Bukannya join lepas tu langsung tak buat apa-apa.
Kemudian buat cerita kononnya produk tak bagus, orang dah tak minat, orang tak percaya dan sebagainya.
Walhal diri sendiri yang tak usaha langsung untuk buat sampai berjaya.
Bisnes ini akan terhenti dan gagal hanya apabila kita sendiri memilih untuk menyerah kalah. Sebaliknya peluang untuk mencipta kejayaan masih terbuka seluas-luasnya, selagi kita tak berhenti berusaha memperkenalkan peluang bisnes ini kepada seberapa ramai prospek yang boleh.
Semoga penerangan saya tentang topik bagaimana bisnes network marketing ini berfungsi jelas, dan memberikan manfaat kepada anda.