Macam mana cara nak dapatkan review yang positif dan rating 5 bintang untuk homestay yang diiklankan melalui laman web Airbnb?
Beberapa tahun kebelakangan ini, saya dan keluarga kerap menggunakan laman web Airbnb apabila membuat tempahan tempat penginapan, sama ada atas urusan kerja atau untuk pergi bercuti.
Macam-macam jenis rumah kediaman yang telah kami check in, dan macam-macam jenis host yang telah kami temui. Ada rumah yang pada pendapat kami sangat bagus dan patut dijadikan contoh oleh semua penggiat bisnes homestay yang menggunakan laman web Airbnb sebagai platform iklan.
Ada juga rumah yang pada kami, ianya biasa-biasa, dan mereka patut usaha dengan lebih baik lagi untuk bisnes homestay yang mereka sedang jalankan sekarang ini.
Memandangkan review yang positif dan juga rating 5 bintang ini sebenarnya terpulang kepada tetamu yang akan tulis, saya rasa ada baiknya saya berkongsi beberapa tips yang boleh dipraktikkan oleh pemilik rumah supaya dimasa akan datang, anda akan dapat peluang yang lebih cerah untuk dapat 5 bintang.
Perkongsian ini ditulis berdasarkan kepada pengalaman saya check in dibeberapa rumah yang menggunakan khidmat dari Airbnb dan juga hasil daripada temubual dengan seorang pengusaha bisnes homestay melalui Airbnb.
Baca juga: Apa kelebihan menggunakan laman web Airbnb untuk mempromosikan bisnes homestay?
Apa yang host boleh lakukan untuk memastikan dapat review yang positif dan rating 5 bintang?
Salah satu kelebihan yang terdapat pada laman web Airbnb ialah, kita sebagai pelanggan boleh baca terlebih dahulu review dari pelanggan atau tetamu terdahulu.
Host boleh tulis segala perkara yang menarik dan yang indah-indah mengenai homestay milik mereka. Namun, pihak tetamu ada peluang untuk menyuarakan pandangan dari pengalaman menginap di kediaman milik host tersebut melalui fungsi review.
Sebaik-baiknya, biarlah review dari pelanggan yang pernah menginap di homestay milik anda sama seperti yang anda tulis pada listing. Konsepnya lebih kurang seperti tetamu anda akan mengiyakan setiap apa yang anda tulis pada listing anda melalui informasi yang anda paparkan pada listing.
Kalau anda katakan yang rumah anda besar, bersih, selesa, cantik, dekat dengan pantai dan sebagainya, sepatutnya ciri-ciri yang sama (atau lebih baik lagi) turut diperkatakan oleh tetamu yang menginap di rumah anda.
Sekarang ini, cuba anda bayangkan, kalau homestay milik anda, mempunyai review yang positif dan dari segi rating, tetamu memberikan anda rating 5 bintang kesemuanya! Dapatkah anda bayangkan betapa satu hari nanti, anda akan dapat lagi banyak tempahan untuk perniagaan homestay anda!
(1) Buat kerja pemasaran tanpa hanya bergantung harap pada Airbnb semata-mata
Untuk melayakkan anda dapat rating lima bintang dari tetamu anda, perkara pertama yang anda patut lakukan adalah… dapatkan tetamu dulu!
Perkara ini sememangnya adalah common sense, namun tahukah anda terdapat sesetengah lokasi yang mana persaingan antara penggiat bisnes homestay sangatlah sengit.
Sebagai contoh, adalah di area Kota Kinabalu Sabah.
Pada masa catatan ini ditulis, terdapat lebih 2,000 iklan homestay di Kota Kinabalu yang tersenarai di laman web Airbnb. Jika anda menjalankan bisnes ini di kawasan tersebut, sudah semestinya anda perlukan strategi pemasaran tambahan, bagi membolehkan anda mendapat pelanggan untuk menginap di homestay milik anda.
Kalau semata-mata mengharapkan pihak Airbnb memberikan anda pelanggan, anda mungkin terpaksa tunggu lama untuk dapatkan tetamu.
Jadi disini, tips yang pertama adalah anda perlu buat pemasaran tanpa terlalu bergantung harap pada laman web Airbnb semata-mata. Apabila dah dapat pelanggan yang minat, barulah anda minta dia buat tempahan melalui Airbnb.
Baca juga: Cara mempromosikan Bisnes Homestay – 10 Idea ini mungkin berguna untuk anda!
(2) Fahamkan apa kriteria yang ditetapkan oleh pihak Airbnb untuk dapatkan 5 bintang
Mari kita lihat terlebih dulu, apakah yang akan di review oleh tetamu dan apakah point yang akan diberikan rating.
Merujuk kepada sistem rating dari Airbnb diatas, perkara yang akan diberikan rating adalah
- Accuracy (ketepatan)
- Communication (komunikasi)
- Cleanliness (kebersihan)
- Location (lokasi)
- Check-in (daftar masuk)
- Value (nilai)
Sekiranya matlamat anda adalah untuk dapat lima bintang rating, maka inilah dia area ataupun point yang anda perlu berikan yang terbaik.
(3) Jujur semasa menulis description tentang homestay anda
Tetamu yang baru pertama kali nak pergi ke sesuatu tempat, biasanya mempunyai pengetahuan dan maklumat yang agak terbatas tentang tempat tersebut.
Kemudian, apabila mereka nak buat tempahan tempat penginapan, mereka terpaksa bergantung sepenuhnya pada descrition atau penerangan yang anda sediakan di Airbnb. Pada ketika ini, description yang anda tulis di Airbnb akan menjadi salesmen yang bekerja untuk anda secara automatik.
Agak jarang bakal tetamu nak tanya satu per satu soalan kepada host. Mereka juga tidak mempunyai masa yang banyak untuk tunggu jawapan balas dari host. Sebaliknya mereka akan terus buat keputusan berdasarkan maklumat yang anda bekalkan di listing Airbnb.
Jika homestay anda terletak dikawasan yang agak bising, anda patut nyatakan lebih awal. Misalnya anda tulis seperti berikut
“Tetamu boleh menikmati suasana yang meriah dan penuh dengan keceriaan muzik kerana homestay ini terletak berdekatan dengan pusat hiburan”
Setidak-tidaknya tetamu anda tidak akan rasa terkejut apabila dia masuk ke tempat anda, kemudian dia dapati keadaan kejiranan tempat lokasi homestay anda agak bising.
Jika anda tak jujur dalam description, anda mungkin akan dapat ramai tetamu, tetapi awas, tetamu yang datang nanti akan berikan review yang sangat teruk terhadap listing anda. Itu risiko yang anda perlu hadapi. Disini adalah point yang berkaitan dengan location dan juga accuracy.
Anda jangan terlalu fokus pada aspek negatif homestay anda, sebaliknya anda fikirkan, apakah perkara positif yang boleh diperolehi oleh tetamu anda apabila menginap di homestay milik anda walaupun terdapat kekurangan.
Tetamu yang bakal menginap di homestay anda sepatutnya sudah ada gambaran, tentang lokasi homestay anda dan apa yang menanti mereka. Jika ianya sama seperti yang anda nyatakan, tentang segala kelebihan dan mungkin kekurangan homestay anda, mereka tiada sebab untuk tidak berikan rating 5 bintang untuk point location.
(4) Gunakan gambar yang terbaru dan selengkapnya
Kadang-kadang saya pun tak faham apa sebenarnya yang membuatkan sesetengah host ini cukup kedekut untuk letakkan gambar pada listing. Ada juga yang saya pernah jumpa, host hanya meletakkan dalam 5 keping gambar sahaja.
Sebenarnya kita boleh letakkan banyak gambar pada listing. Tak perlu takut nak letak banyak gambar pada listing di Airbnb dan untuk pengetahuan anda, gambar juga boleh digunakan bagi tujuan menjual dan meyakinkan bakal tetamu untuk memilih tempat anda.
Dalam setiap gambar anda boleh masukkan description.
Kalau boleh fokus pada setiap kemudahan dan kelengkapan yang ada sediakan dalam rumah. Contohnya, macam pinggan mangkuk, kalau boleh anda beritahulah berapa banyak yang anda sediakan dan adakah ianya mencukupi jika tetamu bawa sekian sekian jumlah orang bersamanya.
Kalau tak mencukupi, senanglah tetamu nak buat plan, sama ada bawa pinggan sendiri atau beli pinggan yang jenis pakai buang tu. Ini juga termasuk dalam bab accuracy.
(5) Sentiasa berkomunikasi dengan tetamu
Saya lebih suka kalau dapat berurusan dengan host yang rajin bertanya kepada guest yang nak check in ditempatnya. Kadang-kadang soalan-soalan tu biasa-biasa je, misalnya
(1) Apa tujuan datang ke tempat tu? Bercuti atau urusan kerja?
(2) Adakah terdapat sebarang keperluan yang boleh disediakan?
Kemudian bila kita dah sampai, pihak host turut menyediakan buku panduan yang kita boleh rujuk pada bila-bila masa. Buku panduan ini memuatkan hal-hal tentang rumah, kemudahan yang terdapat di kawasan sekitar dan juga tentang tempat menarik yang terdapat disekeliling.
Apabila semua maklumat yang diperlukan oleh tetamu tersedia didepan mata, tak ada sebab untuk tetamu tidak memberikan anda rating lima bintang untuk point communication. Pada masa yang sama, anda juga perlu segera memberi respon terhadap segala isu atau masalah yang dihadapi oleh tetamu sepanjang mereka menginap ditempat anda.
Dari pengalaman saya, saya juga beberapa kali berurusan dengan host yang langsung tak berikan sebarang maklumat kepada saya tentang tempat penginapan yang ditempah. Saya pula yang perlu tanya serba serbi. Kalau tak ditanya, mungkin host tersebut akan berdiam diri dan menganggap saya tahu semua perkara.
(6) Fleksibel dengan masa dan sistem check in
Kebanyakkan tempat yang saya pernah check in, saya tak perlu berjumpa dengan tuan rumah. Tuan rumah sama ada akan tinggalkan kunci di peti surat, di pejabat ataupun sekarang ini dah makin banyak yang menggunakan sistem kunci bernombor.
Bila menggunakan sistem ini, host cuma perlu beritahu apakah pass code untuk buka pintu rumah. Tak perlu lagi nak suruh tetamu buat acara treasure hunt untuk pergi cari peti surat, cari kunci dan sebagainya. Pass Code ini anda boleh hantar melalui mesengger atau whatsapp sahaja.
Nanti bila tetamu tersebut dah check out, anda boleh tukar pass code yang baru untuk kegunaan tetamu seterusnya. Penggunaan smart lock ini akan memberikan ada kelebihan dan peluang yang baik untuk dapat rating yang baik dari segi check in.
Anda boleh dapatkan sistem kunci seperti ini dari laman web ini.
Kalau anda dapat tambahkan lagi fleksibiliti anda lagi bagus. Kali ini saya merujuk kepada waktu untuk check in. Kebanyakkan tempat penginapan di Airbnb, meletakkan waktu untuk check in pada jam 3 petang. Saya percaya, sepanjang anda buat bisnes ini, anda pasti dah beberapa kali mendapat permintaan untuk check in lebih awal.
Selain permintaan untuk check in lebih awal, anda juga akan selalu berdepan dengan keadaan dimana tetamu check out lebih lewat berbanding waktu yang sepatutnya. Jika anda dapat berikan kelonggaran kepada tetamu anda, (dengan syarat ianya tidak menyusahkan anda) ini juga akan memberikan anda peluang mendapat rating yang baik untuk point check in dari tetamu anda.
(7) Utamakan kebersihan
Gunakan barangan dan kelengkapan lama bukanlah satu isu. Apa yang menjadi isu adalah apabila kelengkapan yang tersedia di kediaman yang anda jadikan sebagai homestay itu terdapat kekotoran.
Tempat yang biasanya terdapat kekotoran adalah seperti di tandas, bilik air, bath tub, singki, ruang masak dan sebagainya. Barang lama bukan satu masalah. Yang masalahnya adalah barang kotor.
Kalau anda nak dapatkan rating 5 bintang untuk cleanlines, memang kena beri perhatian yang sangat rapi terhadap faktor kebersihan.
(8) Ambil berat tentang kebarangkalian ada tetamu yang alergik
Walaupun saya seorang peminat kucing, namun saya sebenarnya ada masalah alergik dengan kucing. Terutama sekali untuk kucing yang saya tak pernah jumpa. Kalau saya pegang atau main-main dengan kucing tu, saya akan mudah kena selsema.
Kadang-kadang tak perlu pegang pun saya boleh kena alahan. Cukup sekadar berada dekat tempat kucing tu biasa duduk. Mungkin bulu kucing tu yang buat saya asyik bersin.
Sebaik-baiknya, buat pemilik homestay, janganlah biarkan kucing atau haiwan kesayangan berada dalam rumah. Anda tak tahu, mungkin ada antara tetamu anda yang alergik dengan bulu haiwan tersebut.
(9) Siap sedia dengan servis tambahan
Servis tambahan yang anda tak nyatakan dalam listing anda, bakal memberi impak terhadap rating value. Antara perkara yang anda boleh sediakan untuk tetamu anda adalah seperti menyediakan air minuman di peti ais ataupun menyediakan makanan ringan untuk tetamu anda.
Anda juga patut pertimbangkan untuk menyediakan rescue box di homestay milik anda. Manalah tahu, ada antara tetamu anda yang tertinggal atau terlupa nak bawa berus gigi, tuala wanita dan sebagainya, mereka ini boleh gunakan kelengkapan yang telah anda sediakan dalam rescue box.
Mereka pasti akan berterima kasih kepada anda dan memberikan rating 5 bintang untuk value.
Apa yang saya kongsikan disini, adalah mengikut perspektif saya sebagai seorang pelanggan. Jika anda rasakan ada idea didalam ini yang berguna, silalah praktikkannya untuk bisnes anda.
Jemput juga untuk baca: 11 Perkara anda perlu sediakan untuk jana pendapatan lumayan dari bisnes homestay Airbnb