Saya ada baca beberapa perkongsian saudara di internet. Dalam banyak-banyak artikel yang pernah saya baca, saya tertarik dengan cara saudara menjana pendapatan di internet melalui medium blog. Tapi saya masih agak keliru, macam mana sebenarnya nak jadi penulis blog?
Boleh tolong terangkan dengan lebih lanjut?
Ok. Macam mana nak jadi penulis blog?
Syarat untuk jadi penulis blog
Sebenarnya bukannya susah sangat nak jadi penulis blog. Sepanjang saya berkecimpung dalam bidang penulisan blog ini, apa yang boleh saya katakan sebenarnya tiada sebarang peraturan mahupun pra-syarat untuk anda jadi seorang penulis blog.
Walaupun saya berkata begitu, namun saya dapati, jika anda mempunyai ciri-ciri berikut, kebarangkalian untuk anda bertahan lama dalam bidang ini lantas menghasilkan pendapatan yang selesa adalah lebih baik berbanding orang lain.
Nak tahu apa dia? Ini dia antara perkara-perkara yang perlu ada dalam diri anda untuk berjaya sebagai seorang penulis blog.
i. Minat yang mendalam dalam bidang penulisan
Kebanyakkan konten yang bakal dihasilkan oleh penulis blog adalah dalam bentuk penulisan atau artikel. Jika anda mempunyai minat yang mendalam dalam bidang menulis, suka berkongsi cerita, maka tak salah lagi, bidang ini memang sesuai untuk anda.
ii. Ada bakat menulis
Bakat ini tak semua orang ada. Ada orang, dia pandai bercakap dikhalayak ramai dan cukup pandai bercerita, namun bila kita minta dia menulis, hasil penulisannya langsung tak menarik. Kita yang baca, rasa macam keras dan kaku. Justeru, jika anda mempunyai bakat semulajadi dalam bidang penulisan ini, janganlah sia-siakan ia.
iii. Sanggup untuk belajar dan dapatkan seberapa banyak pengetahuan baru
Oleh sebab tak semua orang dikurniakan bakat yang luar biasa, maka untuk orang biasa macam kita, kena ada kesanggupan untuk belajar skil penulisan. Bila dah belajar pelbagai bentuk penulisan, seterusnya kita praktikkan. Biasalah kalau kali pertama, hasil penulisan kita kurang baik, itu semua sebahagian daripada proses pembelajaran.
iv. Sabar
Ini ingredient yang sangat penting. Sabarlah. Kalau penulisan kita tidak diterima, kena kritik, tak ada pembaca. Apa yang saya maksudkan dengan sabar disini, bukanlah duduk diam tak buat apa-apa, sebaliknya kita bersabar dengan cara sentiasa upgrade kemahiran diri.
Konsep sabar yang salah adalah apabila kita kena kritik, kita duduk diam tak buat apa-apa. Itu salah. Yang sebetulnya, bila kita kena kritik, kena kecam, kita sabar dengan dugaan tersebut dan pada masa yang sama, kita lihat balik apa yang tak kena dengan diri kita. Kemudian kita perbaiki.
Kalau sabar dengan cara duduk diam tak buat apa-apa, itu bukan satu konsep sabar yang betul.
v. Rajin buat eksperimen
Teknik penulisan ini ada macam-macam cara. Ada gaya bercerita (story telling), gaya bercerita untuk menjual (story selling) dan satu masa nanti anda juga mungkin akan jumpa istilah copywriting. Semua itu ada fungsi yang tersendiri, dan kalau nak tahu mana satu yang paling bagus untuk berikan anda pendapatan, buatlah eksperimen.
Nanti anda akan temui, setiap gaya dan teknik penulisan ada peranan dan ada tempat yang sesuai untuk digunakan.
vi. Percaya bahawa apa yang anda buat bukan sesuatu yang sia-sia
Walaupun blog yang anda bina masih belum ada pembaca yang banyak, atau blog anda masih belum menghasilkan sebarang pendapatan, percayalah bahawa apa yang anda lakukan bukan sesuatu yang sia-sia.
Ianya mungkin sebab belum sampai masanya, ataupun masih ada kekurangan pada blog anda, yang perlu anda upgrade kemudian hari. Cuba bercampur dengan penulis blog lain yang lebih berjaya, dan buat perbandingan antara blog milik mereka dengan blog anda.
Ataupun anda boleh hubungi mana-mana penulis blog yang lebih berpengalaman untuk dapatkan pendapat dari mereka, apa sebenarnya yang kurang pada blog milik anda.
Kalau anda nak tahu, satu ketika dulu, semasa laman web seperti facebook, twitter dan instagram belum menjadi popular seperti sekarang ini, blog adalah satu medium yang digunakan oleh pengguna internet untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan bersosial.
Ya, blog adalah satu platform sosial media pada zaman tersebut. Kemudian, apabila laman facebook mula mendapat tempat dihati pengguna internet, sedikit demi sedikit, pengguna laman blog mula meninggalkan medium blog untuk beralih kepada medium facebook yang lebih up to date.
Akhirnya laman blog yang ada, satu per satu mula hilang, dek kerana pemiliknya dah tak membayar yuran untuk menggunakan domain dan hosting. Melainkan kalau blog yang dibina menggunakan servis percuma dari blogspot mahupun wordpress.com. Yang tu kebanyakkannya masih ada sampai sekarang. Walaupun blog mereka masih wujud, namun ia sudah tidak dikemaskinikan dengan konten terkini.
Apa yang saya cerita ini, kebanyakkannya berlaku pada sekitar tahun 2011 ke 2012 macam tu. Saya pun tak berapa pasti, masa dan tahun yang tepat. Tapi waktu tersebut memang banyak juga kawan-kawan penulis blog yang terus beralih kepada medium media sosial, sebabnya lebih mudah nak buat duit kalau guna facebook.
Tapi sekarang ini, bila keadaan disana mula tepu, bila dah wujud terlalu banyak fanpage, dengan kegiatan copy paste yang berleluasa, lagi satu FB sendiri kerap kali merubah algorithma yang mereka gunakan, kini nak buat duit dengan fanpage tidak semudah dulu.
Kalau nak gunakan FBAds sebagai medium iklan berbayar pun tak semurah satu ketika dulu. Mujurlah, saya masih lagi setia menulis di blog. Alhamdulillah, walaupun income dari blog ada turun dan naik, setidak-tidaknya saya masih boleh jana income dari blog setiap hari.
Jadi, soalannya sekarang, macam mana nak jadi penulis blog ya?
Sebelum nak terus masuk dalam bidang ini, saya berpendapat eloklah sekiranya anda tanyakan pada diri anda sendiri, adakah anda betul-betul mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini, atau setakat nak cuba-cuba?
Kalau anda seorang yang mempunyai minat yang mendalam, saya percaya, walau apa bentuk gangguan dan cabaran yang bakal anda lalui satu masa nanti, ianya tetap tidak melunturkan semangat anda untuk terus menulis di blog. Ya, ini yang saya pelajari dari pengalaman saya menulis di blog hampir 10 tahun.
Apabila saya sentuh tentang minat, saya sebenarnya sedang merujuk kepada minat kepada aktiviti penulisan itu sendiri. Ada beberapa individu yang pernah beritahu saya, yang dia tak pandai nak menulis blog sebab tak berapa pandai bab IT.
Tak pandai nak buat blog, tak pandai nak buat kerja-kerja programming. Entahlah… sampai satu tahap, saya rasa semua tu cuma alasan semata-mata.
Saya berpendapat, kalau individu tersebut ada minat yang mendalam dalam bidang penulisan, dia sebenarnya boleh survive dalam bidang penulisan blog ini. Syarat untuk mempunyai blog yang berjaya, adalah mampu untuk hasilkan konten yang banyak dalam blog miliknya. Tak kiralah sama ada konten tersebut dalam bentuk artikel (text), video, audio (podcast) atau kombinasi antara yang saya sebutkan.
Even blog yang kebanyakkan kontennya adalah gambar-gambar semata-mata, juga masih ada peluang untuk berjaya dalam arena ini.
Memang betul, sampai satu tahap kita akan rasa macam dah tak tau nak tulis apa dalam blog kita sendiri. Rasa seperti semua benda dah ada yang tulis. Tapi itu tak menjadi masalah, malahan ia tak sepatutnya dijadikan sebagai satu alasan untuk melemahkan kita dari terus menulis.
Dalam bidang ini, minat menulis dan skil penulisan itu lebih utama berbanding kepakaran dalam bidang IT. Saya sendiri tak berapa pandai dalam bab-bab IT ini. Tapi, dengan sedikit kemahiran menulis yang saya ada, saya masih tetap boleh terus menulis di blog.
Hakikatnya, walaupun kemahiran dalam bidang IT itu memang penting, namun skil penulisan itu lebih utama.
“Saya tak ada bakat menulis, macam mana nak jadi penulis blog?”
Bakat tu penting. Tapi pada saya, skil penulisan ini kita boleh gilap dan jika kita menulis setiap hari, kita juga akan jadi mahir dalam menulis. Tak perlu harap kita ada bakat menulis secara semulajadi.
Practise make perfect.
Mulakan dengan langkah paling penting, iaitu bina blog anda sendiri. Peringkat permulaan ini, biasanya memang agak luar biasa, kalau kita nak tunggu peluang ada orang lain yang tawarkan kita job sebagai blogger. Sebaliknya, kalau kita minat nak jadi blogger, kita sendiri yang kena cipta peluang tu.
Kenapa anda nak jadi penulis blog?
Pernah tak anda berhenti sejenak dan fikirkan jawapan untuk persoalan ini. The reason why, atau kenapa anda nak jadi penulis blog. Saya boleh senaraikan beberapa sebab kenapa orang nak jadi penulis blog, antaranya
i. Sebab nak buat duit online
Ya, sebab nak buat duit di internet. Itu merupakan matlamat utama, kenapa saya memilih untuk ceburi bidang penulisan blog. Pada tahun 2009, ketika itu saya masih lagi belajar di universiti. Pada mulanya, saya menulis di blog sekadar untuk dapatkan pendapatan tambahan sahaja.
Kemudian saya mula sedar, pendapatan dari blog boleh jadi lagi banyak dengan teknik penulisan yang betul. Jadi saya terus menulis dan pada masa yang sama, saya belajar beberapa teknik penulisan yang baru.
Pada tahun tersebut, salah satu topik yang cukup popular adalah topik mengenai graduan yang menganggur setelah tamat pengajian. Memandangkan saya mempunyai blog, dan blog yang saya miliki telah menghasilkan pendapatan, saya tak berapa risau kalau lepas habis belajar saya tak dapat sebarang kerja.
Pada waktu itu juga, saya telah mempertimbangkan kebarangkalian untuk bekerja dari rumah secara fulltime sebagai penulis blog.
Apabila mindset kita telah ditetapkan, nak buat duit dengan blog, maka pada waktu ini kita perlu melihat blog sebagai satu cabang perniagaan. Anggap blog ini adalah sesuatu yang serius, dan segala teknik-teknik serta tips kejayaan dalam bidang perniagaan perlu diaplikasikan dalam bidang penulisan blog.
ii. Berkongsi pengalaman hidup dan juga pengalaman perjalanan (travelog)
Mungkin duit bukan agenda utama, kenapa anda mahu menulis blog. Sebaliknya anda lebih suka nak berkongsi kepada dunia, pengalaman hidup dan juga kisah yang anda lalui dalam perjalanan anda.
Mudah-mudahan, pembaca boleh belajar sesuatu dari pengalaman yang anda lalui. Ya, saya juga ada blog yang konsepnya adalah untuk berkongsi kisah dan pengalaman. Saya tak target untuk dapat duit dari blog tersebut, tapi ajaibnya, blog yang dibina bukan untuk tujuan buat duit, juga mampu untuk hasilkan duit!
iii. Bercerita tentang diri anda, bisnes anda dan apa yang anda boleh lakukan
Sebagai pemilik bisnes, atau mungkin sebagai seorang freelancer, anda mungkin tidak mempunyai petugas media, yang akan menulis tentang diri anda dan apa yang anda lakukan. Syarikat akhbar juga mungkin tak minat nak menulis tentang diri anda, sebab anda bukanlah seorang tokoh atau individu yang penting.
Jadi nak tak nak, anda kena menulis tentang diri anda, dan promosikan diri anda sendiri melalui blog. Ini yang saya sendiri lakukan, bagi tujuan mempromosikan servis penulisan artikel advertorial yang saya tawarkan.
iv. Bersosial dan ingin mencari komuniti yang mempunyai minat yang sama
Melalui blog, kita juga lebih mudah untuk berkenalan dengan komuniti yang mempunyai minat yang hampir sama. Dekat luar sana, ada komuniti blogger yang cukup aktif dan selalu buat aktiviti bersama. Cuma terpulang pada anda, sama ada nak join ataupun tidak.
v. Untuk menyumbang kepada masyarakat melalui cara yang anda mampu untuk lakukan
Saya percaya, melalui penulisan blog, kita semua mampu untuk menyumbang kepada masyarakat. Setiap kali saya pergi bercuti, saya akan cuba menulis tentang tempat-tempat menarik yang saya lawati, dan saya akan tulis tentang peniaga-peniaga yang saya temui.
Mudah-mudahan, dengan penulisan yang tak seberapa tu, akan ada pembaca blog saya yang akan berbelanja di tempat milik mereka, dan sekaligus dapat menyumbang dari segi ekonomi.
Baiklah, itu sedikit falsafah disebalik bidang penulisan blog. Sekarang kita move on kepada langkah-langkah untuk mula jadi penulis blog pula ya.
Langkah-langkah untuk jadi penulis blog
(1) Pilih nama untuk blog anda
Dalam kebanyakkan projek blog yang saya lancarkan, saya mengambil masa yang agak lama untuk memikirkan satu nama untuk blog saya. Misalnya macam blog saya ini, saya pilih nama Soal Jawab. Blog ini akan menghimpunkan pelbagai persoalan yang pernah ditanyakan oleh pengguna internet dan In Shaa Allah, saya akan bantu berikan jawapan kepada persoalan tersebut.
Bagi mereka yang tak ada idea untuk memilih nama untuk blog, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk bagi nama pada blog anda berdasarkan kepada
i. Hobi (kakipancing.com, sukamemancing.com, jombaca.com)
ii. Kerjaya (kerjakerajaan.com, kerjaswasta.com, kerjasingapura.com)
iii. Minat
iv. Pengalaman
v. Personal (boleh jadi anda gunakan nama sendiri, sama ada nama betul ataupun nama pena)
Pemilihan nama ini adalah sangat penting, sebabnya ia akan menjadi satu jenama untuk blog anda dimasa akan datang.
(2) Lancarkan blog anda
Memang terdapat banyak platform yang anda boleh pilih bagi menghasilkan laman blog anda sendiri. Ada juga yang percuma dan ada juga yang berbayar. Saranan saya, jika ianya adalah untuk projek jangka masa panjang, gunakanlah yang berbayar dan pilih wordpress self hosted.
Saya syorkan anda menggunakan platform wordpress self hosted sebagai blog utama. Blog yang dibina menggunakan wordpress ada lebih banyak kelebihan berbanding yang dibina menggunakan platform percuma.
Ada banyak syarikat hosting yang bagus-bagus yang terdapat diluar sana. Anda boleh pilih mana-mana syarikat yang anda berkenan, dan pastikan anda baca dulu review dari pengguna terdahulu. Untuk makluman anda, saya menggunakan khidmat hosting dari NetKL Network.
Untuk peringkat permulaan, anda boleh mula dengan pakej yang paling murah, iaitu pakej RM60 setahun. Pakej ini diberi nama pakej MySilverX.
Dekat halaman utama NetKL, anda cari tab Hosting, lepastu pilih Shared Hosting dan seterusnya klik pada For Beginners.
Seterusnya anda akan sampai ke halaman yang meminta anda untuk buat pilihan, pakej yang mana satu yang anda mahukan.
Bila dah tahu nak pilih yang mana, tekan sahaja butang Buy Now atau Order Now.
Saya juga bermula dengan pakej tersebut. Kemudian apabila bilangan pembaca dan pelawat blog makin ramai, barulah saya upgrade kepada pakej yang lebih tinggi.
(3) Pasang sistem blog wordpress dan customize rekabentuk blog anda
Proses untuk hasilkan blog sendiri sangatlah mudah. Anda boleh rujuk posting yang saya buat sebelum ni.
Baca disini: Memasang blog WordPress Self Hosted pada hosting
Untuk pemasangan blog, saya menggunakan software yang diberi nama Softaculous. Anda hanya perlu ikuti langkah demi langkah yang telah ditetapkan.
Kemudian, untuk menjadikan design blog anda kelihatan lain daripada yang lain, anda boleh customize dengan cara memasang (install) theme untuk blog anda. Theme ini ada yang percuma, dan ada juga yang berbayar.
Untuk pilihan theme percuma, ia boleh diperolehi melalui sistem dashboard akaun wordpress anda. Lihat pada screenshot dibawah.
Pergi ke tab Appearance kemudian pilih Themes. Dekat situ anda boleh pilih macam-macam theme percuma dan mana tahu ada antaranya yang menepati citarasa anda.
Saya menggunakan theme berbayar dari https://www.studiopress.com/ setelah mengambil kira kelebihan yang mereka tawarkan.
(4) Pasang plugin untuk upgrade keupayaan blog
Ini satu lagi sebab kenapa mesti gunakan wordpress self hosted. Ada macam-macam plugin, ada yang percuma dan ada juga yang berbayar yang kita boleh pasang untuk meningkatkan keupayaan blog.
Plugin ini kita hanya boleh install pada blog yang menggunakan hosting sendiri. Kalau guna blog percuma seperti blogspot.com ataupun wordpress.com kita tak boleh nak pasang plugin.
Antara plugin yang saya suka pasang pada blog adalah seperti
- Sucuri Security – Auditing, Malware Scanner and Hardening
- Wordfence Security
- WordPress Related Posts
- WP Simple Adsense Insertion
- WPS Hide Login
- Yoast SEO
Sebenarnya ada banyak lagi plugin yang saya pasang pada blog. Saya ada ceritakan dalam posting bertajuk senarai plugin untuk dipasang pada blog wordpress self hosted.
Dekat posting tersebut, saya juga ada beritahu kenapa saya pasang sesuatu plugin.
(5) Mula menulis atau siarkan entri blog anda yang pertama
Sekarang ini anda sudah mempunyai blog anda sendiri. Fikirkan satu topik dan seterusnya fokus untuk hasilkan konten yang berkaitan dengan topik tersebut.
Berkenaan dengan pemilihan topik blog, anda mungkin boleh pilih salah satu daripada topik yang saya bincangkan dalam posting ini untuk dijadikan sebagai topik utama dalam blog anda.
Baca disini: 10 Niche blog terbukti mampu untuk buat duit online
Dulu sewaktu saya baru nak bermula, saya agak obses dengan topik “buat duit online” jadi saya fokus pada topik tersebut. Sambil saya menulis tentang topik tersebut, saya juga dapat belajar sesuatu yang baru.
Kemudian, bila saya mula rasakan yang saya dah kehabisan idea, barulah saya beralih kepada topik lain pula. Memandangkan blog yang saya tulis adalah blog berkonsepkan personal, jadi saya tak kisah sangat untuk campur aduk topik dalam satu blog.
Selepas beberapa tahun, baru saya mula lancarkan blog yang fokus pada satu topik sahaja, iaitu topik tentang percutian. Maka lahirlah blog Xplorasi Destinasi. Blog ini memang agak jarang saya kemaskini, dan saya hanya akan kemaskini kalau saya pergi bercuti.
Walaupun begitu, blog Xplorasi Destinasi adalah antara blog saya yang banyak memberikan pendapatan kepada saya.
(6) Promosikan blog yang telah anda hasilkan
Anda boleh tunggu sehingga blog anda sudah mempunyai 10 buah artikel, barulah mempromosikan blog anda, ataupun kalau anda tak sabar, boleh terus mempromosikan blog anda pada hari pertama anda tulis dan siarkan artikel yang pertama.
Tak ada siapa yang nak marah, dan tak ada siapa yang akan kata apa yang anda buat tu salah. Semuanya terpulang pada anda. Apa yang penting, anda wajib promosikan blog milik anda.
Blog yang anda baru bina, kebiasaannya tiada siapa yang tahu kewujudannya. Malahan kalau anda google nama blog anda, ia mungkin belum tersenarai, ataupun kalau ada tersenarai sekalipun, ia terletak dimuka surat yang agak terkebelakang.
Baiklah, apa yang penting yang anda perlu tahu ialah, anda kena promosikan blog anda sendiri. Mulakan dengan berkongsi link artikel blog anda di semua halaman media sosial yang anda miliki.
(7) Teruskan belajar, upgrade ilmu dan invest untuk software jika perlu
Dari masa ke masa, pasti akan ada pelbagai software dicipta untuk memudahkan kita menghasilkan artikel blog. Ada software yang dicipta khusus bagi tujuan memahami apa sebenarnya tabiat para pengguna internet.
Ada software yang memudahkan kita untuk mencari kata kunci, bagi tujuan penulisan SEO. Kalau ada modal, tak salah untuk invest.
(8) Buat duit dengan blog anda
Sengaja saya letakkan poin buat duit dengan blog anda pada langkah yang terakhir, sebabnya ia memang perkara terakhir yang anda perlu fikirkan kalau serius nak buat duit dengan blog.
Anda hanya akan berjaya buat duit dengan blog, setelah anda ada blog sendiri.
Bila dah ada blog, anda kena pastikan blog anda ada konten dan pengisian yang menarik dan relevan pada fikiran pembaca.
Konten anda perlu cukup menarik, barulah pembaca akan datang baca blog anda.
Anda perlukan pembaca yang ramai, atau trafik yang banyak, barulah strategi untuk buat duit dengan blog akan berhasil.
Duit akan terhasil apabila blog anda sudah mula ada pembaca. Pembaca ini juga kita gelarkan dengan istilah trafik. Bukan semua trafik yang masuk ke blog anda, akan baca keseluruhan artikel yang anda tulis. Mereka mungkin skip skip atau langsung tak baca.
Mereka cuma baca tajuk, kemudian tutup.
Maka disini penting untuk anda memperbaiki kualiti penulisan, supaya trafik yang masuk minat untuk baca penulisan anda. Sebab daripada pembaca ini, mungkin akan ada yang klik pada link affiliate yang anda selitkan dalam entri blog, lalu mereka buat pembelian.
Nah, dari situ anda akan dapat jana pendapatan. Ini yang dinamakan sebagai program affiliate.
Ataupun, anda boleh sahaja sertai program pengiklanan seperti Google Adsense dan jana pendapatan untuk setiap trafik yang masuk ke blog anda. Program pengiklanan Google Adsense ini boleh disertai oleh semua pemilik laman web.
Melalui program ini, anda boleh jana pendapatan secara pasif melalui laman blog milik anda. Lagi banyak trafik yang masuk ke blog anda, maka lagi tinggi pendapatan yang bakal anda perolehi.
Walau apapun cara yang anda ingin gunakan, apa yang penting adalah blog anda perlu ada trafik. Trafik ini pasti akan ada, dengan syarat anda fokus pada kerja-kerja penulisan dan penghasilan konten.
Jadikan kerja-kerja penulisan dan kemaskini blog anda sebagai satu rutin harian, dan In Shaa Allah, dari hari ke hari, blog anda akan berkembang dan terus berkembang. Berikan masa yang secukupnya, dan satu hari nanti, blog anda akan dikenali serata dunia.
Kita semua bermula dengan satu artikel. Tapi dengan semangat dan konsisten, tak mustahil satu hari nanti, kita juga akan mempunyai 10,000 artikel yang disiarkan di internet. Bayangkan, pada waktu itu, berapa ramai yang akan beroleh manfaat dari artikel yang telah kita hasilkan.
Apa pun, saya ucapkan selamat datang dalam bidang ini, dan saya doakan semoga anda juga berjaya! In Shaa Allah.