Apa soalan yang kerap kali ditanyakan oleh tetamu yang nak menginap di mana-mana homestay yang terdapat di Airbnb?
Anda dah bersedia untuk menjadi seorang host di Airbnb? Tahniah saya ucapkan. Sepanjang anda menjadi host di Airbnb nanti, anda mungkin akan menerima tetamu yang ramai, jika homestay anda terletak dikawasan yang cukup strategik.
[Daftar sebagai host Airbnb disini]
Pada masa yang sama, ada juga kemungkinan anda akan kerap ditanya soalan yang sama atau hampir sama oleh tetamu yang berbeza. Adakah anda minat nak tahu apa agaknya soalan yang kerap ditanyakan oleh bakal tetamu anda nanti?
Dibawah ini adalah antara soalan lazim yang tetamu anda akan tanya pada anda. Jika anda ingin jimatkan masa anda daripada perlu jawab soalan yang sama, saya amat mengesyorkan anda menyediakan buku panduan, sama ada versi digital ataupun versi fizikal untuk rujukan tetamu anda.
Ini bukan sahaja akan memudahkan anda dalam menguruskan tetamu yang keluar masuk ke homestay anda, malahan ia juga akan membantu tetamu anda merancang percutian mereka sepanjang berada ditempat anda. Mari kita lihat apa dia soalan-soalan tersebut.
(1) Proses dan prosedur daftar masuk atau check in
Bagaimana cara untuk masuk ke homestay anda? Jika anda menggunakan sistem kunci bernombor, bilakah waktu anda akan berikan passcode tersebut?
Kalau masa untuk check in ialah jam 3.00 petang, sepatutnya paling lewat anda patut berikan passcode tersebut adalah jam 3.00 petang, tanpa perlu tunggu tetamu meminta maklumat tersebut kepada anda.
Sekiranya anda menggunakan sistem kunci, sila nyatakan dengan jelas, dimana kunci tersebut perlu diambil. Siap sedia dengan peta, gambar dan sebagainya. Tetamu yang baru pertama kali sampai ke tempat anda, bagi dia semuanya nampak begitu asing.
Saya pernah ada pengalaman “sesat” di parking lot sebab tak tahu dekat mana lokasi yang betul untuk ambil kunci. Sepatutnya tuan rumah nyatakan secara jelas, jika perlu ambil kunci di mail box, nyatakan dimana kedudukan dan tingkat berapa mail box tersebut berada.
Adakah di lobby? Atau adakah di ground floor? Nyatakan secara jelas di tingkat yang mana satu.
(2) Masa untuk check in dan check out
Kebiasaannya masa untuk check in untuk mana-mana homestay di Airbnb adalah sekitar jam 3.00 petang. Kemudian bagi masa untuk check out pula adalah sekitar jam 12.00 tengahari. Namun begitu, anda mungkin akan temui tetamu yang meminta untuk masuk lebih awal berbanding waktu yang sepatutnya.
Pada ketika ini, anda ada pilihan sama ada nak benarkan ataupun tidak. Saya kira jika ianya tidak menyusahkan anda, dan pada hari sebelumnya memang tak ada tetamu, anda boleh sahaja beri tetamu anda untuk masuk lebih awal.
(3) Proses untuk check out
Apa yang tetamu perlu buat ketika mereka nak check out nanti? Adakah tinggalkan sahaja kunci dalam rumah ataupun pulangkan semula kunci ditempat yang disediakan. Biasanya tuan rumah akan beritahu prosedur untuk check out pada hari terakhir penginapan.
Saya berpendapat, kalau nak berikan maklumat ini pada hari pertama atau lebih awal juga tak ada masalah.
(4) Maklumat tentang tempat meletak kenderaan
Tetamu yang bakal menginap ditempat anda nanti besar kemungkinan akan memandu kenderaan sendiri. Dalam kebanyakkan listing di Airbnb, memang ada disediakan tempat untuk parking kenderaan.
Cuma ianya selalu tak begitu jelas. Persoalan tentang berapa petak parking yang disediakan, adakah terdapat parking khas, di tingkat berapa tetamu boleh parking dan sebagainya tidak dinyatakan.
Jika tetamu anda datang dengan 5 buah kenderaan, dimanakah mereka boleh parking? Jika had yang dibenarkan hanya 3 petak parking sahaja, anda patut nyatakan dengan jelas.
(5) Password untuk wifi
Jika anda menyediakan wifi untuk tetamu anda, tampalkan sahaja maklumat tentang password wifi di dinding atau letakkan di tempat yang mudah dilihat.
(6) Kedudukan first aid kit dan juga rescue box
Tak banyak rumah yang menyediakan dua kelengkapan ini. Jika anda ada sediakan, nyatakan yang anda ada sediakan.
Tetamu anda mungkin tak akan perlukan first aid kit dan juga rescue box ini, tapi jika dengan tak disengajakan berlaku kemalangan, setidak-tidaknya mereka tahu apa langkah kecemasan yang perlu dilakukan.
(7) Peraturan dalam rumah
Adakah anda benarkan tetamu anda untuk berkasut dalam rumah? Senario masyarakat kita di Malaysia lazimnya memang tidak memakai kasut didalam rumah. Tetapi bagaimana sekiranya anda mendapat tetamu dari luar negara? Jika anda tidak nyatakan secara jelas peraturan dilarang berkasut dalam rumah, mereka mungkin tidak akan buka kasut apabila berada dalam kediaman anda.
Seterusnya adalah peraturan berkaitan dengan aktiviti yang menghasilkan bunyi bising. Pada jam berapa tetamu perlu hentikan aktiviti?
(8) Panduan menggunakan televisyen
Zaman sekarang ini, TV pun makin canggih. Ada smart tv, android tv, satellite tv, netflix dan sebagainya. Jangan anggap semua orang tahu macam mana nak gunakan semua teknologi ni. Kalau anda ada sediakan kemudahan-kemudahan ini semua, pastikan anda sediakan panduan macam mana nak gunakan.
Jika tidak, anda mungkin terpaksa datang ke homestay tersebut semata-mata untuk ajar cara penggunaan.
(9) Kelengkapan memasak yang disediakan
Kebiasaannya jika saya dan keluarga pergi bercuti, akan ada satu sesi yang mana kami akan bergotong-royong untuk menyediakan makanan. Tak kisahlah sama ada untuk makan tengahari ataupun makan malam.
Yang menjadi isu ialah tuan rumah selalu tidak memberikan maklumat yang lengkap tentang apa kelengkapan memasak yang disediakan. Bukankah lebih senang kalau tuan rumah beritahu secara jelas apa kelengkapan yang tersedia beserta dengan jumlahnya.
Sebagai contoh
- Pinggan 10 unit
- Gelas 10 unit
- Mug 10 unit
- Kuali saiz XX
- Periuk nasi saiz XX
Apabila ada maklumat seperti ini, kita sebagai tetamu tak perlu nak tanya satu per satu apa yang tersedia. Jika ada yang kurang, kita boleh bawa sendiri. Misalnya kalau pinggan tak cukup, tetamu anda boleh bawa sendiri pinggan kertas jenis pakai buang.
(10) Kelengkapan bilik tidur untuk berapa orang
Ini juga salah satu perkara yang sering menjadi persoalan para tetamu. Perlu atau tak perlu bawa bantal, toto dan selimut tambahan? Ada rumah yang tidak meletakkan had bilangan tetamu yang boleh dibawa bersama.
Dekat sini, anda dapat memudahkan tetamu anda untuk buat persiapan jika anda boleh beritahu dengan jelas, apa kelengkapan yang tersedia beserta dengan jumlahnya.
Sebagai contoh
- Bantal berapa unit
- Selimut ada berapa
- Tilam ada berapa
(11) Penyaman udara
Ruang tamu dan bilik tidur sepatutnya ada disediakan alat penyaman udara. Tapi saya kerap kali jumpa homestay yang menyediakan penyaman udara hanya di masterbedroom sahaja. Saya kira perkara ini perlu diberitahu secara jelas, adakah setiap bilik ada penyaman udara? Adakah ruang tamu juga ada penyaman udara?
(12) Apa perlu buat dengan sampah
Adakah tetamu anda perlu ikat sampah dan letakkan diluar rumah? Atau biarkan sahaja sampah dalam bakul sampah? Atau anda mahu tetamu anda buang sampah ditempat pembuangan sampah yang disediakan?
Nyatakan secara jelas, apa yang anda mahu tetamu anda buat dengan sampah yang dihasilkan. Sesetengah homestay yang disenaraikan di Airbnb, ada mengenakan cleaning fee. Sebenarnya setakat artikel ini saya tulis, saya agak keliru apakah yang tetamu patut buat dengan sampah yang ditinggalkan jika kita dah bayar cleaning fees?
Patutkah kita tinggalkan sahaja dalam rumah? Perlukah kita bersihkan rumah sebelum keluar, atau bagaimana?
(13) Apa aktiviti atau tempat menarik untuk dilakukan
Perkara ini mungkin tidak akan ditanyakan kepada anda. Tetamu anda akan cari sendiri maklumat tersebut menggunakan google sahaja. Carian dengan menggunakan kata kunci seperti “tempat menarik di …” sudah cukup untuk memberikan gambaran kepada tetamu anda apa yang terdapat dikawasan sekitar.
Namun demikian, selain maklumat yang boleh ditemui diinternet, pasti ada “rahsia” lain yang hanya diketahui oleh penduduk setempat. Misalnya tempat lepak yang best, kedai menjual roti canai yang paling sedap. Kesemua maklumat ini, anda patut bekalkan kepada tetamu anda, barulah mereka rasa seronok berada ditempat anda.
(14) Kemudahan yang terdapat dikawasan kediaman
Homestay yang terletak dikawasan kondominium misalnya, ada menyediakan kemudahan tambahan seperti kolam renang, tempat BBQ, gelanggang sukan, gym dan banyak lagi.
Selain anda perlu beritahu dimana lokasi kemudahan-kemudahan ini semua, anda juga perlu nyatakan had masa penggunaan kesemua kemudahan ini.
Apa yang saya kongsikan disini adalah persoalan yang biasanya akan ditanyakan oleh tetamu kepada anda. Anda juga mungkin akan diajukan soalan yang sama atau lebih kurang sama berulang-ulang kali. Untuk jimatkan masa anda, saya cadangkan anda siap sedia dengan jawapan bagi persoalan ini semua, sebelum ianya ditanyakan kepada anda (sama ada melalui whatsapp atau mesengger) dan ketika itu anda terlalu sibuk untuk jawab soalan tersebut.
Saya doakan semoga bisnes homestay yang bakal anda jalankan atau yang anda sedang jalankan akan bertambah sukses.