Tanggungjawab seorang Suami terhadap Isteri dan keluarganya

Boleh tak terangkan pada saya, apa dia sebenarnya tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang yang bergelar suami terhadap isteri dan keluarganya?

peranan-tanggungjawab-suami

Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, dan hidup bersama dengan pasangan masing-masing sebagai seorang suami isteri, kita perlu lengkapkan diri kita dengan pengetahuan dan ilmu yang secukupnya. Bimbang juga, jika tanpa ilmu, kita cenderung untuk melakukan kesilapan dalam menempuhi alam perkahwinan.

 

Berkenaan dengan soalan tersebut, iaitu apa dia tanggungjawab suami terhadap isteri dan keluarganya, saya ingin kongsikan jawapan yang saya petik dari buku berjudul Memasuki Gerbang Perkahwinan. Buku ini adalah rujukan yang diberikan kepada pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan semasa mengikuti kursus Pra Perkahwinan.

 

Mari kita lihat, apa dia sebenarnya tanggungjawab seorang suami.

 

(1) Memberi Mahar atau Mas Kahwin

Mahar atau mas kahwin ialah pemberian berupa wang tunai atau benda bernilai yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab akad perkahwinan.

 

Dalil-dalil wajib bagi pemberian mas kahwin. Terdapat dalam al-Quran dan hadis seperti berikut

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 4, maksudnya:

Dan berilah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 24, maksudnya:

Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan mas kahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

Sahl bin Sa’ad meriwayatkan, maksudnya

Seorang perempuan telah datang kepada Rasulullah SAW lalu dia berkata, “Siapakah yang mahu mengahwininya?” Lalu seorang lelaki berdiri seraya berkata: “Saya, Rasulullah”. Lalu Nabi SAW berkata kepadanya: “Berikanlah mahar kepadanya walaupun sebentuk cincin daripada besi.” Lalu lelaki itu menjawab, “Saya tidak punya, ya Rasulullah.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Kini aku kahwinkan kamu dengan perempuan itu dengan mahar ayat-ayat al-Quran yang ada pada dirimu.” (riwayat Ibnu Majah)

 

Mas kahwin adalah hak mutlak isteri. Sesiapapun tidak berhak mengambilnya melainkan dengan keredhaan dan keizinannya.

 

(2) Memberi nafkah

Nafkah ialah pemberian yang WAJIB diberikan oleh suami kepada isteri dan anak-anaknya. Ia merangkumi perbelanjaan makan, minum, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, rawatan kesihatan dan sebagainya.

 

Dalil-dalil kewajipan nafkah:

 

Firman Allah SWT dalam surah al-baqarah ayat 233, maksudnya:

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.

 

Firman Allah SWT dalam surah at-Talaq ayat 7, maksudnya

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak memberi seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

 

Pemberian nafkah dikira sebagai sedekah kepada keluarga malahan hendaklah diberi keutamaan. Diriwayatkan di dalam hadis, maksudnya

Sesiapa yang memberi nafkah kepada isteri dan anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah. (Riwayat al-Bukhari)

 

Dalam hadis yang lain

Daripada Abi Hurairah berkata, telah bersabda Nabi SAW: Satu dinar yang dibelanjakan pada jalan Allah, satu dinar dibelanjakan untuk membebaskan hamba, satu dinar disedekahkan dan satu dinar dibelanjakan untuk keluargamu maka lebih afdal bagi satu dinar yang dibelanjakan untuk keluargamu. (Riwayat Ahmad)

 

Rasulullah SAW telah memberikan peringatan kepada suami agar melaksanakan tanggungjawab memberi nafkah kepada ahli keluarganya  dan berdosa jika meninggalkannya sebagaimana sabdanya

Seseorang itu adalah berdosa jika mengabaikan nafkah keatas orang yang ditanggung. (Riwayat Abu Daud)

 

Dalam masyarakat sekarang dimana kebanyakkan pasangan suami isteri bekerja, tanggungjawab memberi nafkah tetap menjadi tanggungjawab suami. Walaubagaimanapun, isteri boleh membantu dimana yang sesuai. Sumbangan isteri kepada keluarga merupakan sedekah yang akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

 

(3) Memberi layanan yang baik dan saling menghormati

Suami sebagai ketua keluarga wajib melayani isteri dengan baik, iaitu sentiasa mesra, berlemah lembut, menjaga kebajikan dan menghormati isteri.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 19, maksudnya

Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik; kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikkan yang banyak (untuk kamu).

 

Rasulullah SAW bersabda

Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya dan orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya. (Riwayat al-Tirmizi)

 

Sabda Rasulullah SAW

Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya. Dan akulah yang paling baik kepada isteriku. (Riwayat al-Tirmizi)

 

(4) Memberi pendidikan

Suami sebagai pemimpin rumah tangga perlu melengkapkan diri dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dari masa ke semasa bagi membolehkan dia membimbing keluarga dengan sempurna. Suami hendaklah menggunakan kebijaksanaannya dalam mendidik dan membimbing isteri serta anak-anaknya.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

 

Kebiasaannya, suami adalah tempat rujukan utama bagi isteri. Setiap kali jika ada sebarang masalah, suamilah tempat isteri akan mengadu. Oleh itu, suami perlulah sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan supaya hal-hal yang berbangkit dapat diselesaikan dengan mudah. Selain hal duniawi, suami juga perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan ilmu tentang akhirat juga.

 

Itulah dia sebahagian daripada tanggung jawab suami. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.

 

Baca juga buku berjudul 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam.

 

Link Tempahan 1: Order di Lazada Malaysia

Link Tempahan 2: Order di Bookcafe Online

 

Terdapat banyak isu-isu menarik yang dikupas dalam buku ini, yang sesuai untuk dijadikan rujukan dan panduan anda.

 

Bagi pembaca yang telah mendirikan rumah tangga, anggap sahajalah perkongsian ini sebagai satu ulangkaji. In Shaa Allah.

 

 

, , , ,

No comments yet.

Leave a Reply

CommentLuv badge

Powered by WordPress. Designed by Woo Themes